Uhud Melambai
“Kau, tetaplah di kubumu. Jangan ke mana-mana. Kemenangan kita akan bergantung pada ketaatanmu. Kekuatan kita sangat memerlukan posisi itu. Jangan sampai terlepas. Ini adalah atas nama maruah kita, harga agama kita, nilai bangsa kita!”
Pesan itu bergema di telinga. Berdegar-degar!
Teman di kursi kiri dan kanan dipandang lagi. Lingkaran hitam sudah tercoret di atas kertas di hadapan mereka.
“Ah, kalau mereka boleh bertukar posisi, mengapa tidak aku? Bukankah mereka diberi pesan yang sama sepertiku?”
Pena dan kertas di tangan direnung. Tulisan dari dakwat hitam itu seolah-olah membentuk beburung yang terbang bebas menikmati rezekinya.
“Apa ertinya semua ini andai kemewahan itu tak dapat aku nikmati? Rezeki sudah di depan mata, apakah harus kutolak?”
Diri terus berbisik.
“Jaga kubumu,” desis hati kecil.
Perlahan-lahan surat tawaran di tangan dibaca kembali. Di kiri berdecit kegembiraan. Teman di kanan sudah melompat-lompat kegirangan.Persetujuan sudah dicapai. Habuan yang dijanjikan akan dinikmati dalam sekejapan.
“Sudah habis berfikir?”
Tersentak diri.
Orang yang mengajak bercakap dipandang.
“Berikan aku sedikit masa lagi,”
Entah bagaimana mulut bisa menjawab selancar itu. Bagaikan tidak dapat disekat-sekat lagi.
“Pulanglah ke teratakmu, dan bayangkan vila yang aku janjikan,”
#
Aku berjalan dalam hujan. Bukan kerana aku tak punya kenderaan, tapi aku tak mahu menggunakan hak orang sewenangnya. Lagipun, setakat ke pasar di depan rumahku mustahil tak tergapai. Kudratku masih kuat. Masakan tidak, senaman sudah menjadi temanku sejak kecil. Selesai subuh bukannya masa untuk melelapkan mata, begitu pesan ayahku.
Setelah dia tiada, aku mengajarkan pesan itu pada anak-anakku pula. Isteriku juga kuajak. Kami sering berpimpinan tangan melintasi rumah-rumah dalam komunitiku. Tak jarang kutemui warga lama kota kecilku ini. Semuanya sudah kukenali hati budinya.
Pondok demi pondok kulewati.
Aku membanding dengan teratakku sendiri. Tidaklah seburuk mana teratakku. Sudah cukup apa yang aku miliki. Kereta yang kupakai setiap hari berulang-alik ke tempat perjumpaan sudah terlalu canggih berbanding motor buruk milik jiranku sendiri.
Teringat pada dua helai kertas perjanjian yang masih kusimpan di rumah. Dua hari lagi pasti mereka datang lagi bertanyakan pendirianku.
“Bayangkan vila yang aku janjikan,”
Suara itu bergema.
Sudah kulihat vila yang dikatakan itu. Luasnya berpuluh-puluh kali ganda daripada teratak pusaka itu. Lengkap dengan pendingin hawa. Punya kolam renang yang boleh dijadikan tempat rekreasi seisi usrahku. Tidak cukup dengan itu, tanahnya cukup luas untuk dibuat padang golf!
“Tidakkah kau mahu mengecapi kehidupan ini? Muda hanya sekali, dan yang sekali itu sudah hampir hilang dari hidupmu. Kau hanya ada dua tahun sebelum usiamu mencecah dewasa. Pasti kau tidak mahu menyesali usia mudamu terbuang begitu saja. Sementara...”
“Diamlah!” Aku terjerit.
Suaraku bergema di pelosok buana. Alam memerhati keadaan diriku.
Hujan masih merintiki bajuku. Putihnya sudah mula pudar.
“Dato’, kenapa? Apa yang berlaku?”
Seorang pemuda mendekat. Nyata dia mengenaliku.
“Tak mengapa, anak muda. Usah risaukan keadaanku,”
Dia mula tenang. Wajahku direnungnya.
“Kalau Dato’ ada masalah, ceritakanlah. Sebolehnya saya mahu membantu. Manalah tahu kalau usaha saya yang sedikit ini bisa mengurangkan beratnya tanggungjawab Dato’,”
Ah, dia menawarkan diri! Siapakah engkau, hai anak muda? Sepertinya usiamu baru belasan.
#
Kata-kata anak muda itu membuatkan aku bermenung di sini petang ini. Surat-surat aduan yang kusimpan kubaca lagi.
“Apakah yang aku kejar sebenarnya?”
Dokumen perjanjian yang belum termeterai kuletakkan di atas meja, bersama luahan hati orang sekitarku.
“Yakinkan diri, Dato’. Kalau kita bekerja untuk ALLAH, pasti akan terbalas. Ingatkah lagi Dato’, dalam sejarah perjuangan umat, ada golongan yang kabur dengan kemewahan?”
“Di mana itu, hai anak muda?”
“Di Bukit Uhud,” balasnya ringkas.
Terimbau sejarah Islam yang kupelajari di sekolah dahulu. Bukit Uhud. Sejarah itu, harinya Saidina Hamzah terkorban di tangan Wahsyi.
“Apa yang Dato’ pelajari dari situ?”
Ah, anak ini bahasanya menyakitkan hati! Sepertinya dia mencabar kewibawaanku.
“Apa yang anak dapatkan darinya?”
Aku bertanya kembali.
“Ketamakan hanya merugikan diri sendiri. Bukankah Rasulullah s.a.w sudah memerintahkan supaya mereka terus berkubu di atas bukit sehingga dipanggil turun?”
“Benar. Lantas?”
“Apabila perintah Rasulullah diengkari, pasukan musuh menyerang balas dari atas, sedangkan ketika itu seharusnya kemenangan di tangan Islam,”
Aku angguk. Ternyata pertemuanku dengan anak muda ini tidak sia-sia. TUHAN, maafkan keterlanjuranku tadi. Pasti dia tidak bermaksud menyakiti hatiku.
“Apakah Dato’ akan menerima atau menolak tawaran itu?”
Giliran dia pula bertanya.
“Pada fikiranmu bagaimana?”
Dia sepertinya canggung dengan pertanyaanku.
Aku termalu sendiri.
“Buah akalmu bernas. Pasti kau bisa menjawabnya,”
Aku menagih.
“Sudahkah diistikharahkan?”
Ah, aku terpana lagi!
#
Wajah isteri tercinta kupandang. Air matanya mahu saja kukesat, tapi..
“Abang, benarkah apa yang mereka katakan?”
Aku renung matanya.
“Kau masih percayakan suamimu?”
“Katakan tuduhan mereka tidak benar, abang,” rayunya.
Hatiku hiba.
Pertemuan kami dibatasi palang.
Bagaimana harus kuceritakan padamu?
“Abang?”
Dia menagih jawapan.
“Percayalah. Apa yang abang lakukan tidak pernah menyalahi batas agama. Kalau kekhuatiranmu pada itu, aku tidak melakukannya, dan tak akan pernah kulakukan,”
Dia melafaz syukur.
“Tetapkan pendirianmu, abang. Selagi tidak bersalahan dengan iman, ALLAH akan membela kita,”
Sebak di dada.
“Kami di rumah sentiasa mendoakan abang. Warga kariah sudah lakukan solat hajat supaya abang dibebaskan. Kepulangan abang akan kami sambut dengan takbir dan tahmid,” pesannya sebelum pulang.
#
Ada apa anak muda ini datang ke mari?
“Dato’,”
Dia memanggilku.
Kupandang wajahnya.
“Tahun hadapan saya sudah layak memilih. Kalau nanti Dato’ dilepaskan dan dicalonkan semula, saya pasti menyokong Dato’,”
Ah, harapan itu!
Mampukah aku sekali lagi memikul amanah rakyat?
“Jangan fikirkan beban itu, Dato’. Sudah terbukti usaha Dato’ untuk rakyat. Pondok-pondok buruk sudah tiada di tempat kita, Dato’. Kini segalanya sudah berubah. Rumah di pinggir tasik tempat Dato’ beriadah sudah bertukar menjadi chalet. Rakyat sudah merasa memegang hasil titik peluh sendiri, tidak lagi tertindas seperti dahulu,”
Ah, alangkan begitu! Sudah bertahun-tahun aku di sini.
“Rakyat berontak apabila Dato’ ditangkap. Mereka mahu Dato’ dibebaskan. Kalau tidak, dewan akan dibubarkan. Kerajaan gumam. Kelam kabut mereka mengubah tempat itu mengikut permintaan rakyat yang sudah Dato’ gubah menjadi permohonan-permohonan, yang mereka tolak berkali-kali sebelum ini. Tapi rakyat masih belum puas hati. Mereka masih mahukan Dato’,”
Ya TUHAN, berilah kekuatan padaku!
“Kalau bisa, palang ini akan saya cincang. Apakan daya, saya masih lemah. Suara saya tidak akan didengar. Suara Dato’ lebih lantang,”
Tak perlulah kau lakukan itu, anak muda. Fikirkan masa depanmu. Kalau kau berani melawan, mungkin kau akan berada di sisi sebelah sini palang ini.
“Saya sanggup menjadi peguam Dato’. Malangnya akta ini tidak terlawan. Maafkan saya,”
Dia pergi.
#
Aku tercegat di situ.
Ini bukan rumahku, bisik hati berontak.
Alamatnya sama. Aku tak pernah lupa.
Ini alamat rumah kelahiranku, tapi..
“Ibu, ayah sudah pulang!”
Jeritan itu singgah di telinga. Anak siapakah?
Kupandang wajahnya. Saling tak tumpah.
“Abang,”
Isteriku keluar dari rumah itu.
Tanganku dicium.
Dahinya kukucup.
“Rumah siapakah ini, duhai isteriku?”
Dia tersenyum memandangku. Senyuman yang tidak dapat aku tafsirkan.
“Ini rumah kita, menggantikan teratak pusaka ayah yang diruntuhkan dek pemimpin zalim itu. Kini dia sudah digulingkan. Seperti kisah Ashabul Kahfi,”
“Dari mana kalian dapatkan wang untuk membina rumah ini? Tolong jangan bilang padaku bahawa wang ini hasil perjanjian yang tidak termeterai itu,”
“Kami yang membinanya, Dato’,”
Suara itu kedengaran di belakangku.
Rupanya mereka sudah tahu perihal kepulanganku.
“Datanglah ke masjid. Malam ini kami adakan kenduri kesyukuran, kerana Dato’ sudah dibebaskan. Kebenaran sudah menang!”
Ah, anak muda ini lagi!
Mereka berlalu. Langkah kuatur ke dalam rumah. Susunannya persis teratak pusaka ayahku.
Seorang gadis menghampiriku. Tubuhku didakap. Pipiku dicium.
Wajahnya kupandang dalam-dalam.
Sudah besar rupanya anakku.
“Tujuh tahun bukan singkat, ayah,” balasnya kala terdengar bisikanku.
Ah, anakku sudah matang benar!
#
Orang lama komunitiku berkumpul di kelilingku. Ada yang sudah pergi, menempuh perjalanan terakhir sebelum bertemu TUHANnya. Yang mampu kuberikan hanya Al-Fatihah.
Kariah dimeriahkan dengan pendatang dari luar.
Hatiku menangis syukur. Tempatku sudah makmur.
“Ada yang ingin saya bincangkan,” ujar seorang jirannku.
“Ayuh ke sana,” ajak yang lain.
Aku menurut.
“Ada anak muda yang ingin menjadi menantumu,”
Aku terdiam.
“Siapa?”
“Katanya dia akan datang ke rumahmu. Tapi dia mahukan persetujuanmu dahulu. Baik orangnya. Pengamal undang-undang. Cocok dengan anak gadismu,”
Masih adakah pemuda seperti ini di zamanku?
“Kau izinkan?”
Soalan itu datang bertubi.
“Pertemukan aku dengannya dahulu,”
Bahuku ditepuk perlahan. Rupanya ukhuwah yang terbina di zaman remaja dahulu masih kuat.
#
“Kau?”
Dia menghulur salam. Kusambut.
“Masuklah,”
Dia menurut langkahku.
Aku pandang di belakangnya. Nyata dia sendirian.
“Keluargamu di mana?”
“Saya anak dagang, Dato’. Sendirian saja,” balasnya.
Isteriku kembali ke dapur.
“Dari mana kau kenal anakku?”
Bimbang juga aku, andai kerenah anakku tidak seperti seharusnya seorang perawan.
“Mendengar-dengar saja. Tapi saya yakin dia seperti ayahnya. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,”
Manis mulutnya. Tidak seperti yang ku dengari dahulu.
“Apa kau benar-benar mahu bernikah dengannya?”
Angguk.
Gusarku datang lagi. Pemuda ini sudah bersedia. Bagaimana anakku?
“Dato’ terima?”
#
Ku biarkan mereka bertemu. Dihalangi tabir sekalipun, wajahnya tak berubah. Tetap manis. Jelas dia sungguh-sungguh. Aku yang terpana jadinya.
“Benarkan saya selami hatinya,”
Salam dihulur. Puteriku membalas.
Setiap bicaranya dapat kudengari.
Dia menceritakan hajatnya. Dari situ aku tahu keturunannya. Rupanya dia anak temanku sendiri, yang bersama denganku tika perjanjian itu kutolak. Kekesalannya lantaran persetujuan ayahnya memeterai janji tanpa hak jelas ditonjolkan padaku.
Selesai liqa’, dia kembali menemuiku.
“Saya menantikan jawapan Dato’,”
Kupandangi anakku. Riak wajahnya cuba kubaca.
Anggukan itu membuat aku terpaku.
Benarkah?
Anakku tersenyum sipu-sipu.
Aduhai!
#
Walimah sudah selesai. Semuanya diuruskan pemuda itu, yang kini sudah menjadi menantuku. Keyakinannya terserlah. Aku yang takut melihat. Mungkinkah amalan guamannya membuatkan aura itu kelihatan? Tidak sedikitpun rasa gentar tatkala dia menyambut lafaz ijabku.
Anakku tampak bahagia di sampingnya. Cocok sekali! Segala sunnah Rasulullah diturutinya. Aku menyorot ke dalam bilik tatkala dia meletakkan tangannya di atas ubun-ubun puteriku. Isteriku kupandang. Dia juga merestui.
“Moga kau jadi Ainul Mardhiahku,”
Meski berbisik, suaranya jelas di telingaku.
Kulihat air mata puteriku menitis. Tangis bahagia, mungkin.
Dia keluar dari kamar pengantinnya hampir berlari anak.
“Saya ada hadiah untuk ayah,”
Apa lagi, anakku? Sudah terlalu banyak kejutanmu untukku.
Dia mengeluarkan sampul dari sakunya. Sampul itulah yang aku nampak ketika akad tadi, selain sampul untuk kadi dan saksi.
“Bukalah,”
Aku menatap kepingan-kepingan itu. Mustahil!
“Masih ingat peristiwa medan Uhud?”
Aduhai, anakku! Mustahil aku bisa melupakan. Bukankah aku membuat keputusan dari keyakinan teguhmu?
“Kita akan ke sana,”
#
Bangunan empat segi berwarna hitam itu kupandang. Air mataku tidak tertahan lagi.
Terima kasih, ya Rabbi.
Bas yang kunaiki berangkat ke Madinah. Sudah selesai umrahku, ziarah pula dimulai. Aku akan menjenguk maqam Rasulullah.
Perkuburan Baqi’ terbayang. Masjidun Nabawi tergambar dalam fikiranku. Alangkah manisnya pengalaman ini.
“Di sinilah, ayah. Ini tempatnya Saidina Hamzah terkorban, bersama 70 syuhada’ lagi,”
Uhud nyata menyapaku.
Syukur kupanjatkan.
Inilah hikmahnya aku ditangkap dahulu. ALLAH memberikanku anugerah yang tidak tersangka-sangka.
“ALLAH tak pernah melupakan hambaNya yang sentiasa mengingatiNya,”
#
Banyak sekali kenanganku di Tanah Suci umat Islam itu. Tidak puas rasanya hanya beberapa hari di sana. Hatiku melonjak hendak kembali.
Kupandang jam di dinding.
Sudah pukul tiga pagi.
Langkah kuatur ke ruang dapur. Entah mengapa tekak ini terasa kering sekali malam ini.
Aku berhenti di depan musolla. Kedengaran bunyi air menitis. Terdengar rintihan. Ratap tangis siapakah itu? Terbatal niatku membasahkan tekak.
Sejenak aku terbayang yang tidak-tidak. Ah, mustahil musolla berhantu! Pasti ada ahli rumahku di sini.
Pintu musolla dikuak.
Menantuku!
Apa yang dia lakukan di sini pada waktu tengah malam ini? Bukankah dia masih dalam bulan madu?
Dia tidak berganjak. Masih lagi khusyuk di sudut itu. Sesekali kulihat air matanya menitis. Nafas yang dihelanya kulihat berat sekali.
Aku menjadi pemerhati. Syukurku terlafaz berulangkali. Tidak terucap rasaku.
Sujudnya kali ini panjang benar. Lama aku menanti.
Azan berkumandang.
Sudah subuh rupanya.
Kupandang pemuda itu.
Belum habis lagikah munajatnya?
Aku mendekat.
Ya ALLAH!
Air mataku menitis. Isteriku masuk ke musolla. Puteraku menyusul, diikuti kakaknya yang masih miliki seri pengantin. Jelas dia baru habis menangis.
“Abang, kenapa?”
Tubuh isteriku kudakap.
“Kullu nafsin zaiqatul maut. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un,”
Bisikan isteriku menyedarkanku.
“ALLAH telah menjemputnya pulang, di hadapan abang,”
Puteriku kupandang. Tenang wajahnya. Kepala suaminya sudah di pangkuannya.
“Dia sudah memberitahu kepulangannya, duhai ayahanda. Wasiatnya sudah kusimpan. Dia tidak membenarkan anakanda menemaninya malam ini. Dia ingin bersendirian,”
Aduhai, puteriku! Tabahnya dikau.
#
Dataran itu kulewati lagi. Titisan air mata tidak dapat kutahan. Uhud melambaiku. Dia juga seperti melambaiku.
Aku akan ke raudhah. Doa akan kupanjatkan, agar dia ditempatkan disisiNya. Moga doaku diperkenankan.
“Ya ALLAH, menantuku pasti telah Kau janjikan muda kali kedua. Mudanya yang pertama pun tak sempat dihabisinya. Apakah aku akan kembali ke usia itu? Bisakah aku mengecapi haruman syurga bersama isteriku, atau aku akan Kau humbankan di tempat yang tidak tertahan deritanya?”
Raudhah, nantikan kehadiranku kali kedua.
Uhud, kenangan yang terlakar di dadamu tak akan pernah aku lupakan.