Thursday, February 4, 2010

Peringatan Bertubi-tubi

SalaAmuLLAHi Alaykum

Dengan nama ALLAH dimulai
Bersertakan selawat atas Junjungan s.a.w

Kebelakangan ini semakin menjadi-jadi tentangan yang diterima oleh umat Islam. Yang paling teruk berlaku di Malaysia adalah berkenaan penggunaan lafzul jalalah (ALLAH) dalam kalangan penganut Kristian. keadaan diburukkan lagi dengan sikap sesetengah pihak yang melulu menyalahkan pihak lain dan akhirnya menjadi tuding-menuding.

Ada yang tidak tahu, sebenarnya penganut Kristian di sesetengah tempat di Malaysia sudah lama menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk kepada Tuhan. hanis sendiri berdepan dengan teman-teman yang mengaplikasikan penggunaannya dalam kehidupan sehari-hari.

Yang menimbulkan kehairanan di benak hanis adalah punca berlakunya ketegangan pada hari ini. Selama 15 tahun hanis hidup dan bergaul dengan penganut Katolik, mereka sangat menghormati dan berhati-hati dengan penggunaan kalimah ALLAH. Sensitiviti mereka adalah tinggi terhadap kami yang menjadi umat minoriti di sana. Malah mereka tunduk menghormati ketika dibacakan doa. Bukan seperti yang hanis lihat di sini, ketika orang membaca doa, kita rancak bersembang.

Minoriti? Sebenarnya bilangan Melayu Muslim adalah sedikit berbanding dengan seluruh kaum di Sarawak. Kebanyakannya adalah kaum Iban beragama Kristian. Tetapi tidak kurang juga yang sudah memeluk Islam. Contohnya teman hanis sendiri semasa di sekolah menengah. Kali terakhir hanis bertemunya pada 2004, dia masih Kristian. Sewaktu kami ditemukan semula di Perlis tahun lepas, ternyata beliau sudah menjadi seorang muslimah. hanis sendiri terkejut dengan perubahannya, tetapi yang mampu dilafazkan adalah "Syukur, bertambah seorang lagi umat Islam," (Ayat yang hanis tulis di dalam novel hanis. Tak sangka berlaku di dunia nyata.)

Penemuan pernyataan menghina Rasulullah s.a.w di Facebook telah menimbulkan kemarahan kita. Tetapi sedarkah kita, sebenarnya umat Islam sendiri pun banyak menjatuhkan maruah agama sendiri. Misalnya kes Kartika Dewi. Yang menentang pelaksanaan hukuman sebat ke atas beliau bukannya golongan bukan Islam atau berpendidikan rendah, tetapi umat Islam sendiri yang berkelulusan luar negara. Bukankah hukuman ke atas orang yang minum arak pada zaman Rasulullah s.a.w adalah 40 sebatan? Baru dijatuhkan enam sebatan, sudah heboh fasal ketidakadilan ke atas wanita. Walhal yang empunya diri tidak menolak untuk menjalani hukuman.

Lagi satu, sudah ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 121(1A), yang menyatakan bahawa keputusan yang telah diambil oleh Mahkamah Syariah tidak boleh dicabar. Tetapi yang hanis lihat mencabar keputusan itu ada dari kalangan orang yang berhak menggubal undang-undang. Mungkinkah mereka tidak tahu tentang perkara ini? hanis rasa mustahil ahli Dewan Parlimen dan Dewan Rakyat tidak tahu undang-undang apa yang termaktub dalam perlembagaaan yang dikatakan panduan asas penggubalan undang-undang baru di Malaysia.