Showing posts with label untuk hati. Show all posts
Showing posts with label untuk hati. Show all posts

Thursday, March 11, 2010

Seandainya Aku Suamimu


...dan dimalam pertama itu aku akan berwuduk bersama mu, sujud pada yang memberi rahmat. Bersimpuh bersamamu dalam curahan kasih sayangNya. Dan dikesyahduan malam itu kita berdoa dan  munajat kesyukuran tanda bermulanya kehidupan baru dua susuk tubuh kita yang sama cinta dan cita untuk membina madrasah dakwah yang akan diisi dengan cinta dan api perjuangan.
 
Alangkah indah malam ini dindaku setelah kita lalui onak onak dan sembilu sembilu jalan dan menahan perasaan dan rindu sebelumnya akhirnya kebenaran cinta itu diizinkan Allah dan di raikan bagai mempelai langit yang ditaburi bintang yang menebar ketenangan dan kedamaian. Bintang bintang itu menggoyangkan pelupuk matanya agar tenggelam membiarkan kita berdua berkongsi alam semesta ini.

Akan ku kucup ubun ubunmu dindaku mengambil sunnah Nabiku dan ku letakkan telapak tangan ku di ubun kepala mu lantas aku berdoa agar kau akan jadi peneman hidupku dalam perjuangan ini dan agar Allah memberikan sakinah warahmah dalam bahtera perjuangan kita. Aku tak tahu, apakah perasaanmu tika itu? Tapi akan kulafazkan perkataan yang selama ini kusembunyikan dari mu bahawa ” Aku mencintaimu” Mencintaimu sebelum kau mengenal aku.

Dindaku akan ku renung matamu sepuasnya dan akan ku minta bai’ah dari mu, supaya kau taatkan aku selagimana aku taatkan Allah. Agar kau bantu aku dalam kelemahan dan kedaifanku. Akan ku minta janji dari mu agar kau sentiasa bersama ku dijalan dakwah ini, didalam perjuangan ini dalam susah dan senang dan akan ku minta janjimu agar kita dapat melaksanakan taklif rabbani ini bersama tanpa ada mujadalah dikemudian hari.

Dindaku, aku berjanji pada mu dengan nama Allah bahawa aku akan menjagamu sekudratku. Akan ku jalankan tanggungjawabku sedayaku. dan akan kucurahkan sepenuh kasih sayangku padamu seikhlasnya agar kau dapat merasai manisnya bersamaku.

Dindaku, akan ku isi malam ini dengan bercerita denganmu tentang diri ku, kehidupan, perjuanganku sebelumnya, agar kau mengerti bahawa aku bukan sahaja milikmu tapi milik ummat ini dan dikemudian hari, aku tidak mahu ada kekhilafan antara ini yang akan membuka ruang ruang syaitan untuk berkongsi cinta dan merobohkan kasih sayang kita.

Dindaku, akan kuceritakan juga kelemahan kelemahan ku sejujurnya pada mu kerana saat ini kau adalah sebahagian dari jasad dan jiwaku. berkewajipan bagi mu menutup aib aib ku. Membantu aku dalam memperbaiki qualiti syaksiyahku. Akan ku sembunyikan kelebihan kelebihan ku agar kau dapat rasai apabila hidup bersamaku agar aku tidak bersifat riya’ dan sum’ah denganmu.

Dindaku, akan ku minta kau menceritakan perihal dirimu, kemahuanmu dan cita citamu terhadap diriku. Agar aku dapat menyempurnakan hajat hajat mu, cita citamu supaya kasih sayang ini mewangi selalu …

Dindaku, akan kuceritakan padamu impianku untuk melahirkan rijal rijal dari rahimmu yang akan mewarisi darah perjuangan kita supaya apa yang telah kita lalui ini tidak akan putus selamanya …

Dindaku, ketahuilah bahawa aku bukan sahaja ingin hidup dan menongkah badai dakwah dan bahtera rumahtangga bersamamu didunia ini sahaja tetapi aku ingin hidup bersamamu diAkhirat. Dialam abadi meneguk sejuk sejuk syurga, bermandi embun embun kasturi, bermain burung burung hijau menghirup rahmat Allah dan berpelukan bersama melihat wajah Allah yang teramat nikmat seperti yang telah dijanjikan bagi setiap hambaNya yang berjuang diatas jalannya …

Itulah janji seandai aku suamimu …
dan aku akan terus sabar menanti saat saat itu sekali pun tak pasti …..
dan sekiranya takdir meragut cinta ku …dan penantian mengkhianati aku,
aku juga akan terus bersabar dan terus berjalan menyusuri perjuangan yang  masih panjang  ini dan bidadari ku diakhirat pasti menantiku walau pun tidak engkau dinda ku dan dan Allah tidak akan memungkiri janjinya …..


Balasannya di sini.. hanis tuliskan sendiri.. Ini diambil dari sini..

Saturday, October 31, 2009

Jagalah Hati

SalaAmuLLAHi Alaykum..

Dengan nama ALLAH..
Salawat atas RasuluLLAH..

"Carilah hatimu di tiga tempat... Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika tidak kau temui juga, maka berdoalah kepada ALLAH, pinta hati yang baru kerana pada hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati."

Imam Al-Ghazali

Terasa di hati ini pernah menyimpang dari tujuan hidup yang asal; sebagai hamba yang seharusnya mengabdikan diri kepadaNYA tiap masa dan ketika. Namun, apakah teringat kita kepada DIA semasa kita dalam kesenangan, dilimpahi harta yang berciciran tak mampu ditampung oleh dua tangan yang kecil? Apakah teringat akan DIA semasa dua tangan menyambut segulung kertas yang paling berharga tanda kejayaan setelah berhempas pulas meredah gelora di alam pendidikan? Ingatkah kita pada DIA tika melihat wajah insan-insan tersayang?

Hati itu memang zahirnya ada di dalam diri, tetapi itu hanyalah hati yang asalnya dari segumpal darah, andai diberikan sedikit pada orang lain pun tidak memudaratkan kerana ia hanya pinjaman. Hati yang kita cari adalah hati yang tunduk, hati yang mencari DIA. Apakah kita sudah memilikinya? Andai sudah dimiliki, bersyukurlah dan berdoalah moga dikekalkan ALLAH. Seandainya belum, pohonlah supaya dikurniakan sekeping hati yang baru, yang bersih dari sepalit noda. Bersihkanlah hati yang ada pada kita dengan munajat, rintihan dan ratapan di sepertiga malam. Insya-ALLAH juka diri benar-benar ikhlas dan tawaduk mengharapkan DIA, hati yang tercalit titik hitam walau sebanyak mana pun akan menjadi seputih dan sebersih salju.

Friday, October 23, 2009

Indahnya Dugaan

SalaAmuLLAHi Alaykum

Dengan nama ALLAH
Selawat atas RasuluLLAH

Setiap detik yang diberikan pada kita dalam kehidupan di dunia ini adalah ujian. Sedar atau tidak, kita sentiasa diperhatikan. Tidak ada sesuatu pun yang terlepas daripada pandangan ALLAH. Hatta pergerakan sebutir debu yang amat halus pun. Setiap zarah yang wujud di dunia ini sedar akan kehadiran Sang Pencipta.

Dugaan yang melanda adalah ujian yang nyata pada pandangan manusia. Kesabaran merupakan aset yang paling berharga kurniaan ALLAH atas manusia dalam menghadapi dugaan. Setiap titis air mata mengadu kepada ALLAH ada ganjarannya. Ketenangan hati tatkala melafazkan bait-bait kesyukuran pasti lebih besar pahalanya. Apatah lagi apabila kita sedang dalam kesenangan mengecapi nikmatNYA, tiba-tiba ditarik balik dengan sekelip mata. Ah, beruntungnya orang-orang yang sabar.

Segala hasil usaha kita akan diganjari ALLAH. Baik atau buruk, kita yang menentukan. Ma'ruf perlakuan kita, beruntunglah diri. Munkar yang dilaksana, murka yang diterima. Taubat yang dihulur, Insya-ALLAH diterima, andai taubat itu benar-benar dari nurani; dan selagi hujung nyawa masih belum sampai di tenggorokan, selagi sang mentari masih bisa terbit dari arah timur.

Sedarkah kita, setelah berakhirnya hujan, ada pelangi yang amat cantik. Selepas bersusah mengeluarkan diri dari karung yang dibinanya sendiri, sang rerama akhirnya bisa meninggalkan tempat lahirnya dan berhijrah ke persada dunia dengan sayapnya yang indah. Di sebalik setiap bencana, ada hati yang tersedar dari leka. Sehabis duka pasti akan hadir segaris sinar.

Ingatlah, ALLAH sentiasa bersama kamu. Mendengar setiap degupan jantungmu. Setiap bisikan dalam nuranimu. Menyaksikan setiap lakumu zahir dan batin. Lebih dekat padamu daripada urat lehermu sendiri.

Nikmatnya menghirup lelehan airmata duka andai hatimu dekat padaNYA.