Saturday, December 19, 2009

Bicara Kata

SalaAmuLLAHi Alaykum..

Bismillah pemula tinta
Selawat atas Junjungan S.A.W..

Lama tidak menulis kerana tiada kesempatan masa. Selalunya juga kerana tidak tahu apa yang hanis nak tulis. Yang pasti, air mata tetap tak mahu kering. Bukan mata zahir, mata hati yang menangis. Apakan tidak, dugaan datang menjelma tak pernah habis. Sikap orang sekitar, keputusan peperiksaan semester pertama yang tak memberangsangkan.

Kata-kata jarang diperhatikan. hanis sendiri entah berapa juta kali mengguris hati ibu sedangkan hanis tak berniat pun. Ibu yang salah faham. Hendak dijelaskan pun, ibu tak dengar. Yalah, bila hati sudah terluka, apa lagi yang kita hendak dengar dari mulut orang yang melukai itu. Entah berapa juta kali hanis menimbun dosa di depan ibu. Aduhai!

Mulut ini kadangkala jadi celupar mengatakan yang tidak-tidak. Penyelesaiannya, diam sajalah. Tapi bila diam pun masih dianggap membebel dalam hati, hanis jadi tak keruan.

Kebelakangan ini, ibu sering bercakap tentang nikah. Adik-adik pun naik jelak dan penat telinga. Mungkin silap hanis kerana baca buku Aku Terima Nikahnya tulisan Ustaz Hasrizal di depan ibu. Tapi buku tu tak ada kaitan dengan nikah pun. Susahnya menjaga hati ibu.

hanis pinta sesiapa saja yang membaca blog ini tak segera membuat kesimpulan. hanis manusia biasa yang penuh kesilapan. Jadi, jangan ragu untuk menegur kalau hanis ada tersilap bicara.

hanis memang terfikir nak nikah sebelum usia 20 tahun. Sejak hanis di sekolah rendah lagi. Sejak hanis tahu ibu bernikah ketika usia ibu 20 tahun 2 bulan, Tapi calonnya tak ada.

Wednesday, November 4, 2009

Menundukkan Pandangan

SalaAm..

Basmalah pemula bicara
Selawat atas RasuluLLAH

Perihal menundukkan pandangan, selalu saja disalahtafsir oleh golongan-golongan tertentu. Seringkali kaum HaWa yang menuruti tuntutan syariat ini dituduh sombong dan kurang ajar. Semuanya kerana ajaran dynamic skills yang secara tak kita sedar mengajar wanita dan lelaki yang bertaraf ajnabi (boleh dikahwini) memandang jauh ke dalam anak mata masing-masing, konon hendak mengesan kebohongan!

Aduhai! Bukankah sudah ALLAH perintahkan ar-rijal dan an-nisa' supaya menundukkan pandangan? Mengapa hendak dipertikai pula orang yang menjalankan tuntutan itu? Apa dunia ini sudah menjadi terbalik pula setelah 1400 tahun pemergian Rasul Junjungan itu?

Duhai hati-hati yang masih mahu mengaku cintakan Ilahi, apakah kalian benar-benar mampu menahan getar tatkala bertentang mata dengan kaum lawan? Lihat sajalah, golongan yang tidak rela dilahirkan menjadi wanita akhirnya mencari lelaki juga setelah dia menukar jantinanya (yang bererti menyalahi fitrah). Ingatkah lagi pada kisah lelaki pertama yang mengandung? Bukankah dia asalnya wanita, dan akhirnya mendirikan rumahtangga dengan wanita yang asalnya lelaki? Ternyata dia masih punya naluri wanita, yang dia sendiri cuba menafikan.

hanis sendiri akui di hati ini kadang bergetar juga melihat segelintir lelaki (yang hanis gelarkan lelaki-lelaki masjid). Bukankah fitrahnya wanita itu akan tertarik pada insan yang bernama lelaki? Apatah lagi jika yang tercagak di hadapannya itu memiliki ciri-ciri kepimpinan, keterampilan dan kewibawaan yang menepati citarasa wanita itu.

Tugas hanis sebagai pembantu kedai tak akan pernah lari daripada sapaan-sapaan lelaki. Yang gatal, yang miang, yang wara', yang alim.. Semuanya hanis jumpa. Semuanya perlu hanis hadapi.

Yang gatal, yang miang mungkin dapat hanis tepis dengan mudah kerana (alhamduliLLAH) rasa malu dalam diri hanis masih tebal bila diusik. hanis malah boleh naik angin, sambil menghulur artikel yang hanis kira dapat membela diri hanis bila salam "gatal" mereka tak hanis sambut dengan lafaz, sekadar dijawab di dalam hati. Masih juga mereka mendesak supaya dijawab dengan zahir salam itu.

Tapi yang sukar adalah yang wara', yang alim itulah. Tutur katanya sopan, peribadinya terjaga. Hati mana yang tidak bergelora bila disapa dengan kata-kata yang lembut berhikmah, meski (mungkin) tanpa niat untuk memikat. Pada mereka inilah yang hanis lebih gusar untuk menghadapi. Pada mereka inilah yang lebih sukar ditundukkan pandangan. Ada saja pandangan curi yang dicuba-cuba, meski hanya setelah dia jauh berlalu.

Aduhai, ayahanda! Fahamilah sesungguhnya tak mudah untuk hati ini menahan gelora. Bisakah kiranya ayahanda mencarikan seorang pelindung untuk puterimu ini agar terhindar dari kemaksiatan? Paling tidak, bila hati ini bergetar lagi, teringat pada kanda yang sedang menanti saat pertemuan seterusnya sambil mengharapkan isterinya tidak memandang sepicing pun pada lelaki lain sepanjang berpisah.

Kalaulah ayahanda benar-benar tahu apa yang ada dalam hati puteri sulungmu ini..
Hakikatnya hanya DIA yang tahu.

Tuesday, November 3, 2009

Sekadar Pengisian..

SalaAmuLLAHi Alaykum..
BismiLLAH pembuka bicara kata.
Selawat atas RasuluLLAH..

Dua hari lepas hanis diprovok oleh seorang lelaki. Entah siapa namanya dan dari mana dia muncul, hanis tak tahu. Tapi kata-katanya amat menyakitkan hati hanis. Aduhai, siapalah hanis? Hanya manusia biasa yang punya janji-janji yang belum tertunai.

Mulanya dia bertanya, ke mana perginya tuan kedai jahit di sebelah tempat hanis bekerja itu? Apa dia tak buka malam ini? Dan hanis jawab seadanya, tanpa memandang wajahnya tepat-tepat. Sebolehnya hanis tak mahu ada tautan mata dengannya, apatah lagi hanis tak pernah kenal dia. Yalah. Bukankah ALLAH memerintahkan supaya menundukkan pandangan apabila berhadapan kaum ajnabi?

Dia marah-marah, menuduh hanis kurang ajar dan menyamakan hanis dengan gadis-gadis tepi jalan. Katanya: "Awak, jadi pelajar di sini, menjawab soalan saya dengan cara begitu! Awak kenalkah saya siapa? Saya kenal bos awak tu! Konon bertudung, berbaju kurung, tapi cara awak menjawab tak ubah cara yang duduk di tepi-tepi jalan tu! Bak sini nombor pelajar awak!"
hanis tanya: "Untuk apa diminta nombor pelajar tu?" dengan selembut yang layak untuk hanis.
Dijawab: "Beri sajalah!"
hanis tak beri.
Berkali-kali dia minta, dan berkali-kali hanis tanya kembali.
Sejujurnya hanis akan beri kalau dia jawab hendak mengadukan perlakuan hanis pada HEA kerana hanis yakin hanis di pihak yang benar.
Akhirnya dia pergi begitu saja. hanis perhatikan dia dari jauh. Beberapa orang pelajar yang lalu ditanyanya, mungkin soalan yang sama.
Sempat menitis air mata hanis dituduh sebegitu. Hinakah hanis kiranya cuba mengikuti syariah ALLAH? Ya TUHAN, kuatkan aku. Tiada daya kekuatan melainkan dengan kekuatanMU. La haula wala quwwta illa biLLAHi aliyyil azim.

Perihal menundukkan pandangan, ada teman-teman dari kalangan "saudara" yang mengatakan hanis yang dilihatnya bersama saudari-saudari sangat berbeza dengan hanis yang dikenalinya pada kali pertama. Yalah, setiap kali berjumpa kaum Adam, hanis cuba sembunyikan wajah selayaknya anak gadis. Sesuailah dengan suruhan ALLAH, bukan? Kalau boleh hanis tak mahu berkata-kata dengan mereka selain yang perlu.

hanis akui hanis ada naluri seperti wanita lain. Terkadang hati ini bergetar juga melihat lelaki lalu di depan mata. hanis bimbang niat hanis melayan mereka jadi terpesong. Lewat doa-doa hanis, sejak hanis ter"jatuh cinta" di tingkatan empat, hanis mendoakan supaya dicepatkan jodoh kerana risaukan hasutan nafsu.

Ada ketikanya hati hanis berontak mahu beritahu ayah (ayah hanis kadi kariah kami) supaya carikan jodoh untuk hanis. Yalah, dulu hanis diugut untuk dinikahkan dengan pelajarnya bila ayah dan ibu dapat tahu hanis jatuh cinta pada teman sekelas hanis itu. Tapi hanis yakinkan hati, sebab hanis sudah istikharah minta ditunjukkan jalan, sama ada menerima kemekaran cinta itu atau perlu dibuang. hanis simpulkan dari petunjuk itu bahawa dialah pasangan hanis. Tapi ayah dan ibu tak pernah tahu ini yang hanis putuskan.

Sampai sekarang, dialah cinta hanis yang keenam.

Kenapa enam?

1. ALLAH s.w.t
2. MUHAMMAD s.a.w
3. Ibu
4. Ayah
5. Ahli keluarga yang lain
6. Dia
7. Teman-teman lain

Seyakinnya hanis cuba menunaikan amanah menurut senarai yang hanis buat sendiri itu. Insya-ALLAH. (Selalunya hanis letakkan dia dan teman-teman setara saja. Ada amanahnya, tapi mungkin hanis tak akan dapat tunaikan. Dia mahukan hanis jadi pathologis.)

Walau sekarang hanis hanya tahu di mana dia belajar dan dengan siapa, doa hanis tak henti supaya petunjuk itu benar. hanis tak marah kalau tersalah tafsir, kerana ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hanis. Lagipun, layakkah hanis menyalahkan takdir?
Sering hanis doakan supaya dia hilang dari ingatan hanis kalau apa yang hanis putuskan itu salah, tapi sebaliknya ingatan itu semakin kuat.

Ya ALLAH, bantulah hanis menghadapi cubaan ini. hanis tak tahan menongkah ujianMU, TUHAN.

Sunday, November 1, 2009

Di saat kanda menjadi suami dinda..

Dinda berharap agar kanda akan membawa dinda ke ruang kamar hati kanda setulusnya, seikhlas lafaz akad yang kanda sambut dengan getar. Dinda berharap agar kanda akan memandang wajah dinda dengan penuh rasa cinta dan kasih. Dinda berdoa agar kanda bisa membimbing dinda ke jalan yang benar, jalan yang diredhaiNYA.


Saat kanda kucup dahi dinda, pastinya dinda merasakan debaran yang maha hebat. Begitu tatkala kanda mengungkap salam yang buat kali pertama halal untuk dinda sambut. Tangan kanda yang dihulur akan dinda kucup, sambil berdoa supaya tangan itu akan bisa terus dinda genggam sehingga ke syurgaNYA. Dinda harapkan sepasang tangan itulah yang akan memimpin dinda ke dalam syurga, melalui gerbang yang pastinya amat indah ciptaannya.


Akan dinda pasrahkan segalanya pada kehendak kanda; kerana syurga dinda akhirnya adalah dengan keredhaan kanda; kerana keredhaan TUHAN pada dinda nanti adalah bersama redha kanda sebagai suami dinda; bukan lagi pada ayahanda dan bonda yang mengasuh dinda sejak di alam rahim. Setiap tanggungjawab yang kanda pikulkan di atas bahu ini akan sebolehnya dinda tunaikan, sesuai dengan kemampuan diri dinda yang serba kekurangan ini.


Dinda harapkan malam itu kita akan bersama-sama bermunajat, minta bimbingan daripadaNYA dalam melayari bahtera kehidupan disertai ketaatan kepadaNYA. Malam itu juga akan dinda bai’ahkan, dinda akan mematuhi segala keputusan kanda selagi tidak melanggar batas-batas syariat yang telah DIA tetapkan sejak kita belum terlahir lagi.


Selesai menunaikan dua rakaat pertama kita sebagai suami isteri, dinda akan duduk di hadapan kanda, mendengar segala harapan kanda terhadap dinda, mendengar segala kisah hidup kanda; agar dapat dinda tahu ranjau perjuangan kanda untuk umat ini; agar dapat dinda mengatur haluan hidup dinda supaya selari dengan keperluan kanda.


Dinda ingin sekali menceritakan kisah hidup dinda agar kanda pun tahu apa yang dinda impikan dalam sebuah syurga yang kita telah mulakan bersama. Dinda berjanji dinda akan menutup segala aib kanda seandainya ada yang sudi kanda kisahkan pada dinda dan dinda harapkan kanda juga bisa menyembunyikan setiap kekurangan dinda sebagai isteri kanda.


Dinda sedari diri dinda asalnya daripada tulang rusuk yang bengkok; andai diluruskan dengan kekerasan sakitnya tidak terperi, tetapi sekiranya dibiarkan akan terus bengkok. Maka tegurlah segala silap dan salah dinda selepas ini. Dinda mengerti diri dinda hanyalah wanita biasa, bukan Khadijah, bukan Masyitah dan bukan Asiah. Dinda juga mungkin tak setabah Sumayyah, tak sekental Sarah, tak sesuci Aisyah. Dinda hanyalah wanita yang hidup selepas pemergian Rasul junjungan kita.


Dinda berjanji dinda akan menerima diri kanda seadanya. Dinda bukanlah mengharapkan suami setampan Yussuf. Tidak juga setaat Ibrahim. Mungkin tak sepatuh Ismail. Bukan yang sesetia Adam. Apatah lagi yang semulia MUHAMMAD. Dinda sedar kanda bukanlah wali ALLAH, jauh sekali rasulNYA. Tapi dinda yakin kandalah lelaki yang terbaik sebagai teman hidup dinda, kerana sebab itulah kita dipertemukan.

Dinda berdoa agar pertemuan kita dahulu yang telah membuahkan cinta itu akan menjadi sebuah kebun cinta pula setelah ijab ayahanda kanda sambut dengan kabul. Setelah segala halangan dan cabaran kita tempuhi, dorongan nafsu kita tepis, segala kunci yang diletakkan di hadapan mata kanda kini telah terbuka; dan di sinilah dinda menanti. Keluar dari sebuah penjara rasa menuju ke mahligai yang telah kanda persiapkan buat kita.


Di sana nanti kita sedaya menyemai benih-benih cinta agar terlahir buah-buah kasih sayang yang sujud kepadaNYA. Bukankah RasuluLLAH telah bersabda, bangganya baginda di akhirat nanti kerana ramainya umat. Janganlah kanda bimbang dengan ramainya banat dan rijal kita, dinda sentiasa bersedia dengan apa jua cara supaya mereka terdidik dengan suruhanNYA. Jangan pula kanda khuatirkan rezeki mereka, kerana setiap anak itu telah tertulis rezekinya, ketentuan hidupnya, ajalnya serta jodohnya sejak usianya 40 hari di dalam rahim; yakni sejak rohnya ditiupkan ke dalam jasad. Usah gusar andai dinda merasakan beratnya saat membawa rijal dan banat itu ke alam dunia kerana dinda percaya janjiNYA tak pernah mungkir.


Seandainya dinda kanda tinggalkan mengharung hidup sendirian lantaran urusan kanda dengan manusia lain, dinda akan melaksanakan segala arahan kanda, hatta kiranya kanda mengarahkan supaya dinda berkurung di rumah. Doa dinda tak akan pernah putus supaya kanda selamat dalam safar itu.


Kepulangan kanda lewat hari-hari akan dinda nantikan di muka pintu. Keperluan kanda akan dinda persiap sesempurnanya. Segala penat lelah kanda akan sedaya dinda hilangkan. Kalau perlu, akan dinda sediakan rotan untuk kanda menghukum kiranya ada kesilapan yang dinda perlaku di sepanjang kepergian kanda, tapi mungkin dinda tak akan tahan menanggung kesakitan itu; maka dinda mohon dari sekarang supaya kanda sudi mengampunkan khilaf dinda.


Dinda pingin sekali bersama dengan kanda menongkah samudera hidup hingga ajal bertamu. Seandainya ditakdirkan dinda dipanggil dahulu, dinda mengharapkan kanda berada di sisi dinda saat Malakulmaut melaksanakan tugasnya yang satu itu. Dinda ingin mendengar kata-kata ampunan dari kanda meleraikan segala silap dan salah dinda sepanjang menjadi isteri kanda di dunia; mendengar doa kanda agar kita bertemu lagi di daerah sana. Mengikut tutur kata kanda mengucapkan dua kalimah itu buat kali yang terakhir. Mengharapkan kehadiran kanda itu akan mengurangkan rasa sakitnya ditusuk dengan pedang yang 300. Mengubati pedihnya ditarik segala urat sendi di tubuh dinda yang penuh noda.


Kiranya pula kanda meninggalkan dinda di dunia sendirian, dinda mendoakan agar segala dosa kanda diampuni TUHAN; juga dosa dinda yang terpaksa kanda tanggung sejak hari pertama kanda melafaz janji di hadapan kadi. Dinda ingin mengakhiri pertemuan kita di dunia seperti Aisyah mengakhiri kehidupannya bersama RasuluLLAH. Biarlah saat itu kanda berbaring di pangkuan dinda, berkongsi keperitan dalam perjalanan menghadapNYA. Biar ludah kita saling bersatu sesaat kanda mengakhiri helaan nafas kanda, agar berkurang rasa sakit yang tidak dapat dinda tanggung bersama kanda setelah segala derita yang lain pernah kita berbagi.


Demikian harapan dinda yang tersimpan untuk masa depan kita. Dinda mendoakan segala cita-cita kanda akan terkabul, dan impian kanda tercapai. Maafkan kiranya warkah ini berat untuk kanda laksanakan.


Salam sayang dari adinda.

Saturday, October 31, 2009

Jagalah Hati

SalaAmuLLAHi Alaykum..

Dengan nama ALLAH..
Salawat atas RasuluLLAH..

"Carilah hatimu di tiga tempat... Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika tidak kau temui juga, maka berdoalah kepada ALLAH, pinta hati yang baru kerana pada hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati."

Imam Al-Ghazali

Terasa di hati ini pernah menyimpang dari tujuan hidup yang asal; sebagai hamba yang seharusnya mengabdikan diri kepadaNYA tiap masa dan ketika. Namun, apakah teringat kita kepada DIA semasa kita dalam kesenangan, dilimpahi harta yang berciciran tak mampu ditampung oleh dua tangan yang kecil? Apakah teringat akan DIA semasa dua tangan menyambut segulung kertas yang paling berharga tanda kejayaan setelah berhempas pulas meredah gelora di alam pendidikan? Ingatkah kita pada DIA tika melihat wajah insan-insan tersayang?

Hati itu memang zahirnya ada di dalam diri, tetapi itu hanyalah hati yang asalnya dari segumpal darah, andai diberikan sedikit pada orang lain pun tidak memudaratkan kerana ia hanya pinjaman. Hati yang kita cari adalah hati yang tunduk, hati yang mencari DIA. Apakah kita sudah memilikinya? Andai sudah dimiliki, bersyukurlah dan berdoalah moga dikekalkan ALLAH. Seandainya belum, pohonlah supaya dikurniakan sekeping hati yang baru, yang bersih dari sepalit noda. Bersihkanlah hati yang ada pada kita dengan munajat, rintihan dan ratapan di sepertiga malam. Insya-ALLAH juka diri benar-benar ikhlas dan tawaduk mengharapkan DIA, hati yang tercalit titik hitam walau sebanyak mana pun akan menjadi seputih dan sebersih salju.

Sunday, October 25, 2009

Gerimis Sepi

SalaAmuLLAHi Alaykum..

Dengan nama ALLAH
Salawat atas RasuluLLAH

Debar di hati tak kunjung padam. Benarkah dia sentiasa mengekori? Apakah sudah tiba waktunya? Seperti bayang-bayang, terlalu dekat dengan kita. Seperti urat nadi kita sendiri, malah lebih dekat dari itu.

Ah, hati! Tenanglah dikau. Kesempatan masih ada, pergunakan sebaiknya. Mengapa harus takut andai segala persiapan telah kau sediakan sebaiknya?

Aduhai! Aku malu andai ada kesilapan yang tidak aku nampak. Raqib mencatit, Atid juga mencatat. Terkadang mungkin hadir riya dalam hati sehingga amal yang dicatat Raqib berpindah ke nota Atid.

Istighfarlah sentiasa. Mudah-mudahan diampuni dan diletakkan semula di catitan Raqib.

Diri ini penuh noda. Entah berapa banyak titik hitam yang tak bisa kupadam sebelum tiba saatnya. Aku tak sanggup lagi hidup, hanya menambah dosa.

Berputus asa dengan rahmat ALLAH itu lebih berat azabnya. Di dunia tak tenang, di akhirat tak aman.

AstaghfiruLLAH. Faghfirli ya Rabb. Ighfir zunubi.
Aduhai! Siapalah aku ini hendak mengarah-arah ENGKAU? Aku hanya hambaMU. Sudahlah penuh dosa, kotor dan hina. Asalku dari titisan mani yang mengalir dari saluran yang kotor. Tubuh yang kau pinjamkan ini asalnya dari tanah yang dipijak-pijak, malah dikencingi dan diberakkan binatang. Ke sanalah aku akan dikembalikan. KepadaMU aku akan ditemukan.

Namun apa aku akan dibenarkan melihat wajahMU yang mulia? Atau KAU akan berpaling dari diriku? Tinggallah aku di nerakaMU merasakan azab dan siksa yang tak mungkin tertanggung.

Friday, October 23, 2009

Indahnya Dugaan

SalaAmuLLAHi Alaykum

Dengan nama ALLAH
Selawat atas RasuluLLAH

Setiap detik yang diberikan pada kita dalam kehidupan di dunia ini adalah ujian. Sedar atau tidak, kita sentiasa diperhatikan. Tidak ada sesuatu pun yang terlepas daripada pandangan ALLAH. Hatta pergerakan sebutir debu yang amat halus pun. Setiap zarah yang wujud di dunia ini sedar akan kehadiran Sang Pencipta.

Dugaan yang melanda adalah ujian yang nyata pada pandangan manusia. Kesabaran merupakan aset yang paling berharga kurniaan ALLAH atas manusia dalam menghadapi dugaan. Setiap titis air mata mengadu kepada ALLAH ada ganjarannya. Ketenangan hati tatkala melafazkan bait-bait kesyukuran pasti lebih besar pahalanya. Apatah lagi apabila kita sedang dalam kesenangan mengecapi nikmatNYA, tiba-tiba ditarik balik dengan sekelip mata. Ah, beruntungnya orang-orang yang sabar.

Segala hasil usaha kita akan diganjari ALLAH. Baik atau buruk, kita yang menentukan. Ma'ruf perlakuan kita, beruntunglah diri. Munkar yang dilaksana, murka yang diterima. Taubat yang dihulur, Insya-ALLAH diterima, andai taubat itu benar-benar dari nurani; dan selagi hujung nyawa masih belum sampai di tenggorokan, selagi sang mentari masih bisa terbit dari arah timur.

Sedarkah kita, setelah berakhirnya hujan, ada pelangi yang amat cantik. Selepas bersusah mengeluarkan diri dari karung yang dibinanya sendiri, sang rerama akhirnya bisa meninggalkan tempat lahirnya dan berhijrah ke persada dunia dengan sayapnya yang indah. Di sebalik setiap bencana, ada hati yang tersedar dari leka. Sehabis duka pasti akan hadir segaris sinar.

Ingatlah, ALLAH sentiasa bersama kamu. Mendengar setiap degupan jantungmu. Setiap bisikan dalam nuranimu. Menyaksikan setiap lakumu zahir dan batin. Lebih dekat padamu daripada urat lehermu sendiri.

Nikmatnya menghirup lelehan airmata duka andai hatimu dekat padaNYA.

Di Laluan Fana

SalaAmuLLAHi Alaykum

Dengan nama ALLAH..

Diri ini hanyalah musafir
Musafirah, lebih tepat
Mengharapkan bibit-bibit cinta
Ratapan rindu
Helaan kasih dari DIA

aku berjalan tanpa arah
Masih tersesat dalam gelita
Kudrat diriku yang tak berapa
Hanya sekadarnya yang termampu

Mencari sisa-sisa
Dari luahan hati Rabiah
Mengintip keluhan hati Asiah
Mengutip ketabahan Masyitah
Menjejak titisan darah Sumayyah As-Syahidah

Mampukah aku sekuat mereka?
Sedang aku ini wanita akhir zaman cuma
Yang dilubuki dengan jejeran nafsu
Berpaut pada dahan yang rapuh
Bila-bila bisa terjatuh

Potret keinsafan ku lakar
Sering ku terbabas
Lantas ku padam dan cuba mengukir lagi
Menghirup embunan titis kasih ILAHI
Saat bani insan dibuai indahnya mimpi

Subuhku menjelma lagi
Menginsafi kelemahan diri
Dan nurani yang berbisik sepi
Kala alpa menguasai hati

Harapan kasihku padaMU
Sebentar-sebentar luntur lagi
Walau payah ku lukiskan kembali

Lemah lututku berdiri
MenghadapMU yang Maha segala Maha

Terduduk aku
Tak mampu menahan hiba

KAU beri lagi kesempatan buatku?

TUHAN,
aku hambaMU yang berdosa
aku hambaMU yang hina

Akankah mampu aku merentasi neraka
Atau aku bakal menjadi bahan bakarnya
Sebentar cuma atau selamanya?
Merasakan bahangnya pun tak mungkin tertahan peritnya

Tak terbayang bagiku
Betapa payahnya diri ini nanti
Kala menghadapi saat itu
Bila nafasku tinggal sekadar di hujung helaan

Sedang NabiMU pun derita
aku ini manusia biasa
Apa punya bicara?
Atau tergamam melihat wajah Malakulmaut?

Thursday, October 22, 2009

Sekadar Coretan

SalaAmuLLAHi Alaykum..

Dengan nama ALLAH..
Selawat atas Rasul..

Hamba ini hanyalah musafir
Kembara di laluan tandus
Menuju hari pertemuan
Sesat di suatu simpang

Cuba menghirup cebisan-cebisan
Dari tinggalan-tinggalan sepi
Ratapan hati Rabiah meraih kudusnya
Coretan puisi cinta dari Asiah tika tersiksa oleh suaminya sendiri
Desakan madah rindu titipan Masyitah
Rintihan kasih suci Sumayyah lantaran Quraisy
Deretan kepasrahan Hajar ditinggalkan Ibrahim
Tangisan keinsafan Hawa dipisahkan dari Adamnya
Pengabdian Zulaikha saat Yusuf di sisinya

Zikir derita dari bibir
Kerana terasa hilang kasihMU
Sukar ku lafaz kecintaan
Sakitnya untuk dibukti kesetiaan
Pada setulus kasih
Hanya untukMU TUHANku

Betapa kekasih-kekasihMU asalnya dari laman tandus
Mampu mereka menghadapi
Apakan aku ini
Dari bumi bertuah milikMU
Segala sudah tersedia
Maka aku menjadi manja
Dalam lingkung rezeki kurniaMU

Lingkarkan aku dengan rahmat
Pimpinkan aku dengan kudrat
Dari anugerah terindah yang KAU miliki
Ya TUHAN
Hanya padaMU bisa ku pasrahkan segala

aku tak mampu lagi
Mengharung hidup sendirian
Berilah padaku teman
Pembimbing dan pelindung
Dalam kembaraku
Menuju mardhotiLLAH

Wednesday, October 21, 2009

Hanya Sebuah Coretan

SalaAmuLLAHi Alaykum..

Bismillah pembuka kalam..
Ta'awuz, moga dijauhkan dari syaitan.
Salawatlah atas RasuluLLAH yang sehingga ke akhir hayatnya masih mengingati kita.

Entah mengapa sejak belakangan ini hanis seringkali memikirkan tentang kematian. Bukan hendak mengeluh kerana memikirkan kematian akan membawa kepada mengingati ALLAH (Insya-ALLAH). Tapi sesekali ketakutan itu menghurung bagaikan bayang-bayang. Bagaikan terasa kehadiran Malakulmaut setiap beberapa minit, memerhati setiap perlakuan hanis.

Solatkah atau ditinggalkan?
Makan apakah? Yang halal atau yang haram?
Kerjanya bagaimana? Sempurnakah atau ala kadar?
Amanah ditunaikan atau belum?
Ke manakah dibelanjakan pendapatan yang tak seberapa itu?
Hormatkah pada ayah ibunya? Pada pensyarahnya? Pada guru-gurunya?
Ingatkah pada TUHANnya? NabiNYA?

Kadangkala terasa tubuh ini menggigil tatkala membaca coretan-coretan tazkirah yang bertaburan di sudut dunia maya. Indahnya bicara si pencoret tidak lagi menghiburkan malah menggerunkan hati yang lemah ini.

Kalau dulu hanis sering mengatakan "Kita tidak harus takut pada kematian, kerana mati itu pasti", sekarang hanis sendiri gerun mengenangkan saat sang malaikat menunaikan tugasnya. Bukan kerana kini kematian itu bukan sesuatu yang pasti, tetapi kerana tidak ada seorang manusia pun yang diberitahu bila masanya dia akan dipanggil pergi. Hanya peringatan demi peringatan yang datang dan pergi tanpa kita sedari.

Adakah ketika itu hanis sedang dibuai indahnya mimpi? Atau sedang berseronok dengan teman-teman? Atau sedang berusaha mengejar cita-cita dan menunaikan amanah orangtua dan guru-guru hanis? Mungkinkah pada saat itu hanis sedang lalai dengan dunia penulisan? Atau sedang terleka menikmati keindahan ciptaan ILAHI buat kali yang terakhir? Atau sedang bertengkar dengan seseorang kerana satu perkara yang remeh?

Sedangkan RasuluLLAH pun merasakan betapa peritnya menghadapi sebuah kematian, apatah lagi kita yang hanya manusia biasa, yang pastinya tidak dilayani selembut Izrail melaksanakan tugasnya ke atas Baginda.

Sedangkan Nabi Ibrahim pun tidak dapat menahan getarnya tatkala melihat wajah Malakulmaut sewaktu mencabut roh orang yang berdosa, mungkinkah bagi kita menghadapinya?

Alangkan Nabi Yahya dan ayahandanya Nabi Zakaria saja hampir dicabut taraf kenabian kerana merintih di akhir hayat mereka lantaran digergaji oleh kaum mereka kerana tidak mahu tunduk dengan kehendak nafsu duniawi kaum itu yang meminta supaya menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh ALLAH, apa pula nasib kita, manusia biasa yang penuh noda dan dosa? Yang tak mungkin lepas daripada hasutan nafsu dan syaitan?

Al-Fatihah buat:
Dato' Dr. Ismail, matematikawan Melayu yang hilang deria penglihatan namun dikurniai kebolehan yang tak dapat disangkal. Senator kurang upaya pertama Malaysia.
Saudara Hanif Imran Zainuddin, teman sematrikulasi hanis
Juga buat mereka yang telah lama meninggalkan kita

Salawatlah atas RasuluLLAH yang sehingga ke akhir hayatnya masih mengingati kita. (Seharusnya ini yang menjadi pemula kalam, tapi hanis letakkan di awal adn di akhir, sekadar mengingatkan.)
Ummati, ummati, ummati...

Thursday, October 15, 2009

SalaAm..

SalaAmuLLAHi Alaykum.

BismiLLAH pemula bicara.
Salawatlah ke atas NabiNYA.
AlhamduliLLAH atas rahmatNYA.

Sekadar nukilan dari hati yang mendambakan kasih dari ILAHI.
Sudi-sudikan.

Kita bersaudara kerana kita manusia.
Mungkin ada yang masih tidak mahu peduli.
Adakah diri ini peduli?
Ah, mungkin tidak. Masih ada butir-butir benci dalam diri ini, membuatkan sukar untuk hanis mengotakan janji pada diri untuk tidak bersendirian lagi di tempat yang penuh dengan insan lain.