Wednesday, October 21, 2009

Hanya Sebuah Coretan

SalaAmuLLAHi Alaykum..

Bismillah pembuka kalam..
Ta'awuz, moga dijauhkan dari syaitan.
Salawatlah atas RasuluLLAH yang sehingga ke akhir hayatnya masih mengingati kita.

Entah mengapa sejak belakangan ini hanis seringkali memikirkan tentang kematian. Bukan hendak mengeluh kerana memikirkan kematian akan membawa kepada mengingati ALLAH (Insya-ALLAH). Tapi sesekali ketakutan itu menghurung bagaikan bayang-bayang. Bagaikan terasa kehadiran Malakulmaut setiap beberapa minit, memerhati setiap perlakuan hanis.

Solatkah atau ditinggalkan?
Makan apakah? Yang halal atau yang haram?
Kerjanya bagaimana? Sempurnakah atau ala kadar?
Amanah ditunaikan atau belum?
Ke manakah dibelanjakan pendapatan yang tak seberapa itu?
Hormatkah pada ayah ibunya? Pada pensyarahnya? Pada guru-gurunya?
Ingatkah pada TUHANnya? NabiNYA?

Kadangkala terasa tubuh ini menggigil tatkala membaca coretan-coretan tazkirah yang bertaburan di sudut dunia maya. Indahnya bicara si pencoret tidak lagi menghiburkan malah menggerunkan hati yang lemah ini.

Kalau dulu hanis sering mengatakan "Kita tidak harus takut pada kematian, kerana mati itu pasti", sekarang hanis sendiri gerun mengenangkan saat sang malaikat menunaikan tugasnya. Bukan kerana kini kematian itu bukan sesuatu yang pasti, tetapi kerana tidak ada seorang manusia pun yang diberitahu bila masanya dia akan dipanggil pergi. Hanya peringatan demi peringatan yang datang dan pergi tanpa kita sedari.

Adakah ketika itu hanis sedang dibuai indahnya mimpi? Atau sedang berseronok dengan teman-teman? Atau sedang berusaha mengejar cita-cita dan menunaikan amanah orangtua dan guru-guru hanis? Mungkinkah pada saat itu hanis sedang lalai dengan dunia penulisan? Atau sedang terleka menikmati keindahan ciptaan ILAHI buat kali yang terakhir? Atau sedang bertengkar dengan seseorang kerana satu perkara yang remeh?

Sedangkan RasuluLLAH pun merasakan betapa peritnya menghadapi sebuah kematian, apatah lagi kita yang hanya manusia biasa, yang pastinya tidak dilayani selembut Izrail melaksanakan tugasnya ke atas Baginda.

Sedangkan Nabi Ibrahim pun tidak dapat menahan getarnya tatkala melihat wajah Malakulmaut sewaktu mencabut roh orang yang berdosa, mungkinkah bagi kita menghadapinya?

Alangkan Nabi Yahya dan ayahandanya Nabi Zakaria saja hampir dicabut taraf kenabian kerana merintih di akhir hayat mereka lantaran digergaji oleh kaum mereka kerana tidak mahu tunduk dengan kehendak nafsu duniawi kaum itu yang meminta supaya menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh ALLAH, apa pula nasib kita, manusia biasa yang penuh noda dan dosa? Yang tak mungkin lepas daripada hasutan nafsu dan syaitan?

Al-Fatihah buat:
Dato' Dr. Ismail, matematikawan Melayu yang hilang deria penglihatan namun dikurniai kebolehan yang tak dapat disangkal. Senator kurang upaya pertama Malaysia.
Saudara Hanif Imran Zainuddin, teman sematrikulasi hanis
Juga buat mereka yang telah lama meninggalkan kita

Salawatlah atas RasuluLLAH yang sehingga ke akhir hayatnya masih mengingati kita. (Seharusnya ini yang menjadi pemula kalam, tapi hanis letakkan di awal adn di akhir, sekadar mengingatkan.)
Ummati, ummati, ummati...

0 comments: