Wednesday, November 4, 2009

Menundukkan Pandangan

SalaAm..

Basmalah pemula bicara
Selawat atas RasuluLLAH

Perihal menundukkan pandangan, selalu saja disalahtafsir oleh golongan-golongan tertentu. Seringkali kaum HaWa yang menuruti tuntutan syariat ini dituduh sombong dan kurang ajar. Semuanya kerana ajaran dynamic skills yang secara tak kita sedar mengajar wanita dan lelaki yang bertaraf ajnabi (boleh dikahwini) memandang jauh ke dalam anak mata masing-masing, konon hendak mengesan kebohongan!

Aduhai! Bukankah sudah ALLAH perintahkan ar-rijal dan an-nisa' supaya menundukkan pandangan? Mengapa hendak dipertikai pula orang yang menjalankan tuntutan itu? Apa dunia ini sudah menjadi terbalik pula setelah 1400 tahun pemergian Rasul Junjungan itu?

Duhai hati-hati yang masih mahu mengaku cintakan Ilahi, apakah kalian benar-benar mampu menahan getar tatkala bertentang mata dengan kaum lawan? Lihat sajalah, golongan yang tidak rela dilahirkan menjadi wanita akhirnya mencari lelaki juga setelah dia menukar jantinanya (yang bererti menyalahi fitrah). Ingatkah lagi pada kisah lelaki pertama yang mengandung? Bukankah dia asalnya wanita, dan akhirnya mendirikan rumahtangga dengan wanita yang asalnya lelaki? Ternyata dia masih punya naluri wanita, yang dia sendiri cuba menafikan.

hanis sendiri akui di hati ini kadang bergetar juga melihat segelintir lelaki (yang hanis gelarkan lelaki-lelaki masjid). Bukankah fitrahnya wanita itu akan tertarik pada insan yang bernama lelaki? Apatah lagi jika yang tercagak di hadapannya itu memiliki ciri-ciri kepimpinan, keterampilan dan kewibawaan yang menepati citarasa wanita itu.

Tugas hanis sebagai pembantu kedai tak akan pernah lari daripada sapaan-sapaan lelaki. Yang gatal, yang miang, yang wara', yang alim.. Semuanya hanis jumpa. Semuanya perlu hanis hadapi.

Yang gatal, yang miang mungkin dapat hanis tepis dengan mudah kerana (alhamduliLLAH) rasa malu dalam diri hanis masih tebal bila diusik. hanis malah boleh naik angin, sambil menghulur artikel yang hanis kira dapat membela diri hanis bila salam "gatal" mereka tak hanis sambut dengan lafaz, sekadar dijawab di dalam hati. Masih juga mereka mendesak supaya dijawab dengan zahir salam itu.

Tapi yang sukar adalah yang wara', yang alim itulah. Tutur katanya sopan, peribadinya terjaga. Hati mana yang tidak bergelora bila disapa dengan kata-kata yang lembut berhikmah, meski (mungkin) tanpa niat untuk memikat. Pada mereka inilah yang hanis lebih gusar untuk menghadapi. Pada mereka inilah yang lebih sukar ditundukkan pandangan. Ada saja pandangan curi yang dicuba-cuba, meski hanya setelah dia jauh berlalu.

Aduhai, ayahanda! Fahamilah sesungguhnya tak mudah untuk hati ini menahan gelora. Bisakah kiranya ayahanda mencarikan seorang pelindung untuk puterimu ini agar terhindar dari kemaksiatan? Paling tidak, bila hati ini bergetar lagi, teringat pada kanda yang sedang menanti saat pertemuan seterusnya sambil mengharapkan isterinya tidak memandang sepicing pun pada lelaki lain sepanjang berpisah.

Kalaulah ayahanda benar-benar tahu apa yang ada dalam hati puteri sulungmu ini..
Hakikatnya hanya DIA yang tahu.

Tuesday, November 3, 2009

Sekadar Pengisian..

SalaAmuLLAHi Alaykum..
BismiLLAH pembuka bicara kata.
Selawat atas RasuluLLAH..

Dua hari lepas hanis diprovok oleh seorang lelaki. Entah siapa namanya dan dari mana dia muncul, hanis tak tahu. Tapi kata-katanya amat menyakitkan hati hanis. Aduhai, siapalah hanis? Hanya manusia biasa yang punya janji-janji yang belum tertunai.

Mulanya dia bertanya, ke mana perginya tuan kedai jahit di sebelah tempat hanis bekerja itu? Apa dia tak buka malam ini? Dan hanis jawab seadanya, tanpa memandang wajahnya tepat-tepat. Sebolehnya hanis tak mahu ada tautan mata dengannya, apatah lagi hanis tak pernah kenal dia. Yalah. Bukankah ALLAH memerintahkan supaya menundukkan pandangan apabila berhadapan kaum ajnabi?

Dia marah-marah, menuduh hanis kurang ajar dan menyamakan hanis dengan gadis-gadis tepi jalan. Katanya: "Awak, jadi pelajar di sini, menjawab soalan saya dengan cara begitu! Awak kenalkah saya siapa? Saya kenal bos awak tu! Konon bertudung, berbaju kurung, tapi cara awak menjawab tak ubah cara yang duduk di tepi-tepi jalan tu! Bak sini nombor pelajar awak!"
hanis tanya: "Untuk apa diminta nombor pelajar tu?" dengan selembut yang layak untuk hanis.
Dijawab: "Beri sajalah!"
hanis tak beri.
Berkali-kali dia minta, dan berkali-kali hanis tanya kembali.
Sejujurnya hanis akan beri kalau dia jawab hendak mengadukan perlakuan hanis pada HEA kerana hanis yakin hanis di pihak yang benar.
Akhirnya dia pergi begitu saja. hanis perhatikan dia dari jauh. Beberapa orang pelajar yang lalu ditanyanya, mungkin soalan yang sama.
Sempat menitis air mata hanis dituduh sebegitu. Hinakah hanis kiranya cuba mengikuti syariah ALLAH? Ya TUHAN, kuatkan aku. Tiada daya kekuatan melainkan dengan kekuatanMU. La haula wala quwwta illa biLLAHi aliyyil azim.

Perihal menundukkan pandangan, ada teman-teman dari kalangan "saudara" yang mengatakan hanis yang dilihatnya bersama saudari-saudari sangat berbeza dengan hanis yang dikenalinya pada kali pertama. Yalah, setiap kali berjumpa kaum Adam, hanis cuba sembunyikan wajah selayaknya anak gadis. Sesuailah dengan suruhan ALLAH, bukan? Kalau boleh hanis tak mahu berkata-kata dengan mereka selain yang perlu.

hanis akui hanis ada naluri seperti wanita lain. Terkadang hati ini bergetar juga melihat lelaki lalu di depan mata. hanis bimbang niat hanis melayan mereka jadi terpesong. Lewat doa-doa hanis, sejak hanis ter"jatuh cinta" di tingkatan empat, hanis mendoakan supaya dicepatkan jodoh kerana risaukan hasutan nafsu.

Ada ketikanya hati hanis berontak mahu beritahu ayah (ayah hanis kadi kariah kami) supaya carikan jodoh untuk hanis. Yalah, dulu hanis diugut untuk dinikahkan dengan pelajarnya bila ayah dan ibu dapat tahu hanis jatuh cinta pada teman sekelas hanis itu. Tapi hanis yakinkan hati, sebab hanis sudah istikharah minta ditunjukkan jalan, sama ada menerima kemekaran cinta itu atau perlu dibuang. hanis simpulkan dari petunjuk itu bahawa dialah pasangan hanis. Tapi ayah dan ibu tak pernah tahu ini yang hanis putuskan.

Sampai sekarang, dialah cinta hanis yang keenam.

Kenapa enam?

1. ALLAH s.w.t
2. MUHAMMAD s.a.w
3. Ibu
4. Ayah
5. Ahli keluarga yang lain
6. Dia
7. Teman-teman lain

Seyakinnya hanis cuba menunaikan amanah menurut senarai yang hanis buat sendiri itu. Insya-ALLAH. (Selalunya hanis letakkan dia dan teman-teman setara saja. Ada amanahnya, tapi mungkin hanis tak akan dapat tunaikan. Dia mahukan hanis jadi pathologis.)

Walau sekarang hanis hanya tahu di mana dia belajar dan dengan siapa, doa hanis tak henti supaya petunjuk itu benar. hanis tak marah kalau tersalah tafsir, kerana ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hanis. Lagipun, layakkah hanis menyalahkan takdir?
Sering hanis doakan supaya dia hilang dari ingatan hanis kalau apa yang hanis putuskan itu salah, tapi sebaliknya ingatan itu semakin kuat.

Ya ALLAH, bantulah hanis menghadapi cubaan ini. hanis tak tahan menongkah ujianMU, TUHAN.

Sunday, November 1, 2009

Di saat kanda menjadi suami dinda..

Dinda berharap agar kanda akan membawa dinda ke ruang kamar hati kanda setulusnya, seikhlas lafaz akad yang kanda sambut dengan getar. Dinda berharap agar kanda akan memandang wajah dinda dengan penuh rasa cinta dan kasih. Dinda berdoa agar kanda bisa membimbing dinda ke jalan yang benar, jalan yang diredhaiNYA.


Saat kanda kucup dahi dinda, pastinya dinda merasakan debaran yang maha hebat. Begitu tatkala kanda mengungkap salam yang buat kali pertama halal untuk dinda sambut. Tangan kanda yang dihulur akan dinda kucup, sambil berdoa supaya tangan itu akan bisa terus dinda genggam sehingga ke syurgaNYA. Dinda harapkan sepasang tangan itulah yang akan memimpin dinda ke dalam syurga, melalui gerbang yang pastinya amat indah ciptaannya.


Akan dinda pasrahkan segalanya pada kehendak kanda; kerana syurga dinda akhirnya adalah dengan keredhaan kanda; kerana keredhaan TUHAN pada dinda nanti adalah bersama redha kanda sebagai suami dinda; bukan lagi pada ayahanda dan bonda yang mengasuh dinda sejak di alam rahim. Setiap tanggungjawab yang kanda pikulkan di atas bahu ini akan sebolehnya dinda tunaikan, sesuai dengan kemampuan diri dinda yang serba kekurangan ini.


Dinda harapkan malam itu kita akan bersama-sama bermunajat, minta bimbingan daripadaNYA dalam melayari bahtera kehidupan disertai ketaatan kepadaNYA. Malam itu juga akan dinda bai’ahkan, dinda akan mematuhi segala keputusan kanda selagi tidak melanggar batas-batas syariat yang telah DIA tetapkan sejak kita belum terlahir lagi.


Selesai menunaikan dua rakaat pertama kita sebagai suami isteri, dinda akan duduk di hadapan kanda, mendengar segala harapan kanda terhadap dinda, mendengar segala kisah hidup kanda; agar dapat dinda tahu ranjau perjuangan kanda untuk umat ini; agar dapat dinda mengatur haluan hidup dinda supaya selari dengan keperluan kanda.


Dinda ingin sekali menceritakan kisah hidup dinda agar kanda pun tahu apa yang dinda impikan dalam sebuah syurga yang kita telah mulakan bersama. Dinda berjanji dinda akan menutup segala aib kanda seandainya ada yang sudi kanda kisahkan pada dinda dan dinda harapkan kanda juga bisa menyembunyikan setiap kekurangan dinda sebagai isteri kanda.


Dinda sedari diri dinda asalnya daripada tulang rusuk yang bengkok; andai diluruskan dengan kekerasan sakitnya tidak terperi, tetapi sekiranya dibiarkan akan terus bengkok. Maka tegurlah segala silap dan salah dinda selepas ini. Dinda mengerti diri dinda hanyalah wanita biasa, bukan Khadijah, bukan Masyitah dan bukan Asiah. Dinda juga mungkin tak setabah Sumayyah, tak sekental Sarah, tak sesuci Aisyah. Dinda hanyalah wanita yang hidup selepas pemergian Rasul junjungan kita.


Dinda berjanji dinda akan menerima diri kanda seadanya. Dinda bukanlah mengharapkan suami setampan Yussuf. Tidak juga setaat Ibrahim. Mungkin tak sepatuh Ismail. Bukan yang sesetia Adam. Apatah lagi yang semulia MUHAMMAD. Dinda sedar kanda bukanlah wali ALLAH, jauh sekali rasulNYA. Tapi dinda yakin kandalah lelaki yang terbaik sebagai teman hidup dinda, kerana sebab itulah kita dipertemukan.

Dinda berdoa agar pertemuan kita dahulu yang telah membuahkan cinta itu akan menjadi sebuah kebun cinta pula setelah ijab ayahanda kanda sambut dengan kabul. Setelah segala halangan dan cabaran kita tempuhi, dorongan nafsu kita tepis, segala kunci yang diletakkan di hadapan mata kanda kini telah terbuka; dan di sinilah dinda menanti. Keluar dari sebuah penjara rasa menuju ke mahligai yang telah kanda persiapkan buat kita.


Di sana nanti kita sedaya menyemai benih-benih cinta agar terlahir buah-buah kasih sayang yang sujud kepadaNYA. Bukankah RasuluLLAH telah bersabda, bangganya baginda di akhirat nanti kerana ramainya umat. Janganlah kanda bimbang dengan ramainya banat dan rijal kita, dinda sentiasa bersedia dengan apa jua cara supaya mereka terdidik dengan suruhanNYA. Jangan pula kanda khuatirkan rezeki mereka, kerana setiap anak itu telah tertulis rezekinya, ketentuan hidupnya, ajalnya serta jodohnya sejak usianya 40 hari di dalam rahim; yakni sejak rohnya ditiupkan ke dalam jasad. Usah gusar andai dinda merasakan beratnya saat membawa rijal dan banat itu ke alam dunia kerana dinda percaya janjiNYA tak pernah mungkir.


Seandainya dinda kanda tinggalkan mengharung hidup sendirian lantaran urusan kanda dengan manusia lain, dinda akan melaksanakan segala arahan kanda, hatta kiranya kanda mengarahkan supaya dinda berkurung di rumah. Doa dinda tak akan pernah putus supaya kanda selamat dalam safar itu.


Kepulangan kanda lewat hari-hari akan dinda nantikan di muka pintu. Keperluan kanda akan dinda persiap sesempurnanya. Segala penat lelah kanda akan sedaya dinda hilangkan. Kalau perlu, akan dinda sediakan rotan untuk kanda menghukum kiranya ada kesilapan yang dinda perlaku di sepanjang kepergian kanda, tapi mungkin dinda tak akan tahan menanggung kesakitan itu; maka dinda mohon dari sekarang supaya kanda sudi mengampunkan khilaf dinda.


Dinda pingin sekali bersama dengan kanda menongkah samudera hidup hingga ajal bertamu. Seandainya ditakdirkan dinda dipanggil dahulu, dinda mengharapkan kanda berada di sisi dinda saat Malakulmaut melaksanakan tugasnya yang satu itu. Dinda ingin mendengar kata-kata ampunan dari kanda meleraikan segala silap dan salah dinda sepanjang menjadi isteri kanda di dunia; mendengar doa kanda agar kita bertemu lagi di daerah sana. Mengikut tutur kata kanda mengucapkan dua kalimah itu buat kali yang terakhir. Mengharapkan kehadiran kanda itu akan mengurangkan rasa sakitnya ditusuk dengan pedang yang 300. Mengubati pedihnya ditarik segala urat sendi di tubuh dinda yang penuh noda.


Kiranya pula kanda meninggalkan dinda di dunia sendirian, dinda mendoakan agar segala dosa kanda diampuni TUHAN; juga dosa dinda yang terpaksa kanda tanggung sejak hari pertama kanda melafaz janji di hadapan kadi. Dinda ingin mengakhiri pertemuan kita di dunia seperti Aisyah mengakhiri kehidupannya bersama RasuluLLAH. Biarlah saat itu kanda berbaring di pangkuan dinda, berkongsi keperitan dalam perjalanan menghadapNYA. Biar ludah kita saling bersatu sesaat kanda mengakhiri helaan nafas kanda, agar berkurang rasa sakit yang tidak dapat dinda tanggung bersama kanda setelah segala derita yang lain pernah kita berbagi.


Demikian harapan dinda yang tersimpan untuk masa depan kita. Dinda mendoakan segala cita-cita kanda akan terkabul, dan impian kanda tercapai. Maafkan kiranya warkah ini berat untuk kanda laksanakan.


Salam sayang dari adinda.