Wednesday, November 4, 2009

Menundukkan Pandangan

SalaAm..

Basmalah pemula bicara
Selawat atas RasuluLLAH

Perihal menundukkan pandangan, selalu saja disalahtafsir oleh golongan-golongan tertentu. Seringkali kaum HaWa yang menuruti tuntutan syariat ini dituduh sombong dan kurang ajar. Semuanya kerana ajaran dynamic skills yang secara tak kita sedar mengajar wanita dan lelaki yang bertaraf ajnabi (boleh dikahwini) memandang jauh ke dalam anak mata masing-masing, konon hendak mengesan kebohongan!

Aduhai! Bukankah sudah ALLAH perintahkan ar-rijal dan an-nisa' supaya menundukkan pandangan? Mengapa hendak dipertikai pula orang yang menjalankan tuntutan itu? Apa dunia ini sudah menjadi terbalik pula setelah 1400 tahun pemergian Rasul Junjungan itu?

Duhai hati-hati yang masih mahu mengaku cintakan Ilahi, apakah kalian benar-benar mampu menahan getar tatkala bertentang mata dengan kaum lawan? Lihat sajalah, golongan yang tidak rela dilahirkan menjadi wanita akhirnya mencari lelaki juga setelah dia menukar jantinanya (yang bererti menyalahi fitrah). Ingatkah lagi pada kisah lelaki pertama yang mengandung? Bukankah dia asalnya wanita, dan akhirnya mendirikan rumahtangga dengan wanita yang asalnya lelaki? Ternyata dia masih punya naluri wanita, yang dia sendiri cuba menafikan.

hanis sendiri akui di hati ini kadang bergetar juga melihat segelintir lelaki (yang hanis gelarkan lelaki-lelaki masjid). Bukankah fitrahnya wanita itu akan tertarik pada insan yang bernama lelaki? Apatah lagi jika yang tercagak di hadapannya itu memiliki ciri-ciri kepimpinan, keterampilan dan kewibawaan yang menepati citarasa wanita itu.

Tugas hanis sebagai pembantu kedai tak akan pernah lari daripada sapaan-sapaan lelaki. Yang gatal, yang miang, yang wara', yang alim.. Semuanya hanis jumpa. Semuanya perlu hanis hadapi.

Yang gatal, yang miang mungkin dapat hanis tepis dengan mudah kerana (alhamduliLLAH) rasa malu dalam diri hanis masih tebal bila diusik. hanis malah boleh naik angin, sambil menghulur artikel yang hanis kira dapat membela diri hanis bila salam "gatal" mereka tak hanis sambut dengan lafaz, sekadar dijawab di dalam hati. Masih juga mereka mendesak supaya dijawab dengan zahir salam itu.

Tapi yang sukar adalah yang wara', yang alim itulah. Tutur katanya sopan, peribadinya terjaga. Hati mana yang tidak bergelora bila disapa dengan kata-kata yang lembut berhikmah, meski (mungkin) tanpa niat untuk memikat. Pada mereka inilah yang hanis lebih gusar untuk menghadapi. Pada mereka inilah yang lebih sukar ditundukkan pandangan. Ada saja pandangan curi yang dicuba-cuba, meski hanya setelah dia jauh berlalu.

Aduhai, ayahanda! Fahamilah sesungguhnya tak mudah untuk hati ini menahan gelora. Bisakah kiranya ayahanda mencarikan seorang pelindung untuk puterimu ini agar terhindar dari kemaksiatan? Paling tidak, bila hati ini bergetar lagi, teringat pada kanda yang sedang menanti saat pertemuan seterusnya sambil mengharapkan isterinya tidak memandang sepicing pun pada lelaki lain sepanjang berpisah.

Kalaulah ayahanda benar-benar tahu apa yang ada dalam hati puteri sulungmu ini..
Hakikatnya hanya DIA yang tahu.

0 comments: